Selangorkini
Petugas kesihatan menunjukkan dos vaksin kepada penerima di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Teliti pendekatan terhadap guru tolak vaksin, jamin tidak beban pengajar lain

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti pendekatan terbaik terhadap guru yang enggan divaksin.

Menteri kanan pendidikan memberi jaminan guru yang sudah divaksin tidak akan terbeban dengan tanggungjawab golongan tersebut kerana mereka akan diberi tugas berdasarkan keadaan semasa di sekolah.

“Ada sekitar 2,100 guru yang memilih untuk tidak divaksinkan. Guru ini kita pastikan mereka tidak akan mengajar anak-anak kita secara bersemuka di dalam kelas.

“Kita telah berbincang JPA dan semalam jabatan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang memperincikan untuk membawa isu itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membincangkan apakah pendekatan yang sesuai,” kata Datuk Dr Mohd Radzi Jidin di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan M Karupaiya (Padang Serai-PH) yang bertanyakan adakah guru yang menerima vaksin terpaksa menggalas tugas pengajar yang menolak suntikan tersebut.

Mohd Radzi juga mengupas pendekatan terbaik untuk murid berkeperluan khas untuk kembali ke sekolah ketika kes Covid-19 masih tinggi.

“Kita utamakan untuk mereka kembali ke sekolah, belajar di sekolah dalam keadaan di mana kita pastikan persekitaran itu dilindungi. Kita pastikan semua guru dan kakitangan telah divaksin.”

Bagaimanapun katanya, jika ibu bapa tidak yakin dengan keselamatan anak-anak, mereka dibenar tidak menghantar pelajar terbabit ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut sebagai rekod.


Pengarang :