Petugas kesihatan memantau pelajar di bahagian pemerhatian selepas menerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada 20 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Teruja terima vaksin, pelajar mahu ke sekolah seperti biasa

SHAH ALAM, 28 SEPT: Keinginan untuk kembali ke sekolah dan menjalani pembelajaran semuka seperti biasa menjadi penguat semangat pelajar untuk menerima vaksinasi Covid-19.

Muhammad Iman Rizqin Muhammad Ramadzan, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam berkata dia teruja menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja supaya dapat kembali belajar seperti sediakala.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Muhammad Iman Rizqin Muhammad Ramadzan

“Belajar dalam talian ni agak susah, sukar untuk beri tumpuan. Kadang-kadang komputer riba rosak, rangkaian internet perlahan, apa yang cikgu ajar pun jadi tersangkut-sangkut.

“Bila dah divaksin kita boleh pergi sekolah macam biasa. Belajar bersemuka lebih faham dan mudah,” katanya ditemui di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Sementara itu pelajar Kolej Vokasional Port Dickson Zurina Natasha Zulkiflee,16, gembira mendapat vaksin walaupun datang tanpa janji temu.

Beliau mulanya risau tidak mendapat pelalian kerana tidak berdaftar dan hanya mencuba nasib.

Pelajar Kolej Vokasional Port Dickson, Zurina Natasha Zulkiflee

“Hari ini ibu bawa abang yang belajar di SMK Puncak Alam ambil pelalian. Saya kena tunggu semua yang daftar disuntik baru nama dipanggil.

“Saya memang mahu divaksin kerana nak belajar bersemuka. Lebih senang dan mudah faham berbanding secara dalam talian,” katanya.

Program vaksin remaja berumur 16 dan 17 tahun bagi daerah Kuala Selangor dijalankan sejak 23 September lalu hingga Rabu dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Peserta perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga, membawa kad pengenalan diri, borang persetujuan suntikan vaksin dan tidak dibenarkan hadir tanpa janji temu.


Pengarang :