Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyampaikan cek cura berjumlah RM100,000 kepada EXCO Sumber Manusia Kedah Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad (tengah) selepas lawatan ke kawasan terjejas di air terjun Titi Hayun, Yan Besar pada 31 Ogos 2021. Turut kelihatan Pegawai Daerah Yan Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tidak sangka Selangor hulur bantuan, waris mangsa banjir lumpur terharu

YAN BESAR, 1 SEPT: Waris mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos lalu tidak menyangka menerima sumbangan wang tunai dan keperluan harian daripada Kerajaan Selangor.

Mohamad Firdaus Zainol, 36, berkata beliau dihubungi pejabat daerah memaklumkan ibunya akan menerima sumbangan yang diberikan sendiri Dato’ Menteri Besar Selangor yang mengadakan lawatan ke kawasan air terjun Titi Hayun.

Waris mangsa terkorban Mohamad Firdaus Zainol. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya rasa syukur dan terharu pemimpin Selangor sanggup datang ke sini. Alhamdulillah kerana sumbangan ini boleh digunakan untuk keperluan ibu,” katanya yang hadir menerima sumbangan mewakili ibunya.

Menceritakan kejadian, Mohamad Firdaus berkata orang tuanya menetap di Sungai Petani tetapi ketika kejadian ayah pergi ke kebun yang terletak di kawasan air terjun.

“Ayah ada memaklumkan bahawa pulang lewat sedikit kerana air deras tetapi sehingga malam masih tidak belum pulang ke rumah,” katanya.

Suri rumah Nahra Siza Murhaban, 46, berkata beliau bersyukur apabila mendapat sumbangan wang tunai dan keperluan harian daripada Kerajaan Selangor yang membantu mengurangkan beban.

“Saya dan anak-anak bergantung sepenuhnya dengan arwah suami dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai kerana hilang sumber pendapatan.

“Namun walaupun arwah suami telah tiada, saya perlu kuat untuk menyara tiga anak yang berusia 14 hingga tujuh tahun,” katanya.

Amirudin ketika mengadakan lawatan menyampaikan sumbangan kepada waris enam mangsa yang terkorban akibat bencana berkenaan.

Beliau turut menyumbang bantuan RM100,000 kepada Kerajaan Kedah bagi membantu mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos.

Sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

Pengarang :