Penyelia Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Nooraini Ahmad Zaki memberi kauseling kepada guru Kafa ketika program vaksinasi khas guru Kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tolak vaksin: Jais kemuka pandangan kepada Sultan Selangor sebelum putus tindakan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengemukakan pandangan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebelum tindakan diambil terhadap kumpulan agama yang menolak untuk divaksin.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata langkah itu demi memastikan ketetapan Jais dipatuhi selain melindungi kakitangan serta pelajar daripada jangkitan Covid-19.

Katanya pandangan dikemukakan melibatkan beberapa aspek termasuk pelanggaran titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu semua kakitangan divaksin.

“Pelanggaran fatwa negeri juga dikemukakan selain mencadangkan bentuk tindakan tatatertib. Untuk aspek ini Jais kena lihat perkara berkait status jawatan, perlantikan dan lain- lain.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad

“Jais juga akan meneliti penjelasan individu tidak hadir dan enggan divaksin, mungkin ada melibatkan masalah kesihatan,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Jelas Shahzihan pihaknya masih memberi ruang kepada guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah terbabit untuk mengambil pelalian tanpa janji temu di mana-mana pusat pemberian vaksin.

“Mereka yang belum divaksin atau tidak lengkap vaksin diarah untuk tidak terbabit menguruskan jemaah. Kita tak mahu ada penularan baharu melibatkan surau atau masjid

Kelmarin, Sultan Sharafuddin menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Baginda juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.


Pengarang :