AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tourism Selangor guna Tik Tok promosi destinasi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 6 SEPT: Aplikasi Tik Tok menjadi pilihan Tourism Selangor sebagai medium bagi mempromosi lokasi pelancongan menarik negeri ini.

Pengurus komunikasi korporatnya Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata kaedah penggunaan Tik Tok yang lebih berkesan dan cepat mampu merancakkan sektor pelancongan di Selangor untuk jangka masa pendek.

“Promosi yang dilakukan melengkapi semua aspek iaitu pelancongan, penginapan dan makanan sebagai tarikan kepada pengunjung di sesebuah lokasi itu.

“Setakat ini kita menerima banyak pertanyaan  daripada orang ramai bertanyakan tempat-tempat pelancongan menarik di Selangor sejak seminggu lalu terutama lokasi perkelahan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu katanya berhubung pemberian baucar pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM50, inisiatif itu bergantung kepada perkembangan Pelan Pemulihan Negara.

“Pada tahun lalu baucar RM200 hanya boleh memanfaat 10,000 individu sahaja namun untuk kali ini baucar RM50 diberikan yang boleh memanfaatkan seramai 20,000 individu,” katanya.

Pada 16 Julai Kerajaan Negeri menawarkan 20,000 baucar pelancongan Selangor 2.0 yang dijangka boleh ditebus seawal Oktober sekiranya kes Covid-19 menunjukkan pemulihan.

EXCO pelancongan Hee Loy Sian berkata pihaknya sedang memantau perkembangan semasa penularan wabak serta peralihan negeri ini ke fasa seterusnya dalam pelan pemulihan.


Pengarang :