Selangorkini
Pertandingan e-sukan Selangor Mobile Legends di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 15 April 2018. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor promosi e-sukan dalam sektor pelancongan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tourism Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan e-Sukan Selangor bagi mempromosi bidang itu dalam sektor pelancongan.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata kerjasama itu adalah pemangkin untuk menjadikan Selangor sebagai negeri e-sukan pertama di Malaysia sekali gus mempromosi sektor pelancongan.

“Banyak permintaan daripada masyarakat terhadap e-sukan sejak kebelakangan ini. Kita melihat Selangor berpotensi meningkatkan sektor pelancongan terutama apabila wujudnya Arena E-Sukan Kebangsaan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

MoU diadakan secara maya menerusi Facebook rasmi Tourism Selangor pada Isnin yang ditandatangani Azrul Shah dan Presiden Persatuan e-Sukan Selangor Abdul Razak Mohd Yusof.

Sementara itu, Abdul Razak berkata MoU julung kali itu sebagai tanda rasmi e-sukan dimasukkan ke dalam sektor pelancongan.

“Dengan munculnya arena e-Sukan Kebangsaan Selangor iaitu hab e-sukan terbesar di Asia Tenggara itu sudah pasti akan menyumbang kepada industri pelancongan di negeri ini sekiranya ada kejohanan negara dan antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan Mohd Khairuddin Othman mengumumkan Selangor bakal menjadi bandar e-sukan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.


Pengarang :