Wakil Persatuan Nour el-Marifa menghantar kelengkapan persekolahan kepada pelajar di Gaza, Palestin menggunakan trak bantuan dibeli hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin. Foto ihsan Global Peace Mission Malaysia
AGENDANASIONAL

Trak Selangor agih kelengkapan sekolah buat rakyat Palestin

SHAH ALAM, 6 SEPT: Trak bantuan dibeli hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin mula digunakan semalam bagi menjalankan misi bantuan dan kebajikan di Gaza, Palestin.

Ketua pegawai eksekutif Global Peace Mission Malaysia berkata kenderaan pelbagai guna berharga RM150,000 bagi menghantar alatan persekolahan seperti buku, uniform dan alat tulis.

“Setakat ini kita sudah beli sebuah trak menggunakan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin, dua lagi selepas fasa kedua bantuan diterima.

“Trak akan diserah kepada badan bukan kerajaan di lapangan untuk menghantar bantuan, membawa pesakit ke hospital dan murid ke sekolah,” kata Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Beliau berkata ambulans termasuk dalam pakej bantuan pula akan diserahkan selepas kerja ubah suai siap dijangka dalam tempoh dua minggu.

“Kementerian Kesihatan Palestin akan menentukan hospital untuk meletakkan ambulans itu,” katanya.

Pada 19 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan tabung berkenaan bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Selain ambulans dan trak, bantuan lain termasuk kotak makanan serta petrol untuk menghidupkan generator hospital di Gaza.


Pengarang :