Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang khas Parlimen pada 27 Julai 2021 – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tun M: Tetap kriteria lantikan status menteri, elak jadi sogokan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan harus menetapkan kriteria untuk melantik individu memegang jawatan bertaraf menteri bagi mengelakkannya menjadi sogokan.

Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata amalan itu mendorong sogokan kerana individu terbabit lebih menumpukan kemudahan dinikmati dan bukan tugas diberi kepadanya.

Walaupun mengakui pernah melakukan perkara sama ketika menjadi perdana menteri, beliau menjelaskan pelantikan seorang personaliti sudah bersara dari politik itu dibuat bagi mendapatkan kepakarannya.

“Sepatutnya kita tetapkan kriteria tertentu sebelum melantik seseorang untuk dapat taraf menteri, jika tidak akan jadi sogokan kepada penyokong kerajaan.

“Ini harus ditamatkan dalam reformasi dilaksanakan,” katanya ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 4 September lalu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri yang dipersoal Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Ini kerana bekas perdana menteri itu gagal menguruskan negara ketika wabak Covid-19 dari segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan ketika memegang tampuk pemerintahan.


Pengarang :