Penerima menunggu giliran untuk suntikan vaksin Covid-19 ketika program Vaksin Selangor (Selvax Bergerak) di Dataran Santai @ Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tunggu giliran vaksin, pemuda main video dalam talian atasi rasa takut

AMPANG, 17 SEPT: Seorang pemuda bermain permainan video dalam talian bagi mengalih tumpuan daripada perasaan takut berada di tempat sesak ketika hadir menerima suntikan vaksin Covid-19.

Tuan Muhammad Aiman Hafiy Tuan Izham Ros dilihat leka bermain PUBG Mobile di telefon pintar dalam barisan panjang pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point di sini semalam.

Pemuda berusia 20 tahun yang sempat ditemui sebaik menerima dos pertama pelalian mengakui mengalami masalah ketakutan melampau di tempat umum sejak kecil sehingga memaksanya bertindak sedemikian.

Tuan Muhammad Aiman Hafiy Tuan Izham Ros. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya tiba di pusat vaksin bergerak pada jam 12 tengah hari dan agak terkejut melihat ramai orang sedang beratur menunggu giliran. Perasaan cemas serta berdebar terus muncul, tetapi saya cuba tenangkan diri dengan bermain permainan video.

“Pada masa sama mengharapkan agar giliran saya (divaksin) cepat tiba… tidak sanggup berada di sini lama-lama. Namun, saya bersyukur kerana proses berjalan sangat cepat dan sekarang rasa sedikit lega.

“Mungkin kedengaran agak lucu kerana sesetengah individu takut jarum suntikan tetapi saya sebaliknya. Keadaan ini tidak berlaku dalam tempoh panjang selain tidak menjejaskan kesihatan, cuma kalau boleh nak elak (berada di tempat sesak),” katanya.

Perantau dari Kelantan berkata meskipun situasi sama dijangka berulang, namun dia tidak sabar melengkapkan dos kedua vaksin kerana sedar suntikan pelalian lebih penting untuk mengurangkan gejala Covid-19.

Dia yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur turut menyimpan hasrat untuk pulang ke kampung halaman sekiranya kelonggaran diberikan kelak bagi mengubat kerinduan terhadap keluarga.

“Saya datang ke Kuala Lumpur dua tahun lepas sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia untuk bekerja sambil mencari pengalaman. Macam tak sangka, wabak melanda negara hanya beberapa bulan selepas itu dan sampai sekarang tak berpeluang balik kampung,” kata pekerja restoran itu.


Pengarang :