Keadaan sebuah rumah akibat tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Kelang pada 18 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ubah suai rumah bukan punca tanah runtuh di Kemensah Heights

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang Jaya pada Jumaat bukan berpunca daripada pengubahsuaian tanpa kebenaran yang dilakukan penduduk.

Bagaimanapun pengarah jabatan kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata faktor utama kejadian masih belum dapat disimpulkan, lapor Berita Harian.

“Kejadian itu membabitkan dua bahagian. Tanah runtuh memberi kesan kepada banglo berkenaan, bukan ia menjadi punca kejadian.

“Jabatan dan agensi berkaitan diberi tiga hari untuk mencari punca kejadian. Masih terlalu awal untuk kita simpulkan apa yang menjadi penyebab utama tanah runtuh berkenaan,” kata Zafrul Fazry Mohd Fauzi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan terima 26 laporan daripada penduduk membabitkan kerosakan harta benda dan isu kawalan keselamatan.

“Setakat ini, kita kenal pasti 110 penduduk terkesan dengan kejadian terbabit. Seorang ditempatkan di pusat pemindahan sementara manakala selebihnya tinggal di rumah saudara.

“Saya dimaklumkan jabatan berkaitan tiada lagi pergerakan tanah di kawasan ini, namun seorang pegawai dan 10 anggota polis masih ditempatkan di sini menerusi tiga syif sehari bagi membuat kawalan keselamatan,” katanya.

Pada Jumaat tiga banglo dan 24 rumah bandar membabitkan 27 keluarga terjejas akibat kejadian tanah runtuh namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Susulan itu semua penduduk diminta berpindah sementara waktu selain Kerajaan Negeri turut mengisytihar lokasi berkenaan sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi bantuan awal RM500 kepada keluarga terlibat untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.


Pengarang :