Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman bercakap kepada media selepas merasmikan The Tomanz Tangkap dan Lepas di Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 18 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Unisel dicadang jadi pusat vaksin, mudahkan proses suntik 6,000 penuntut

BESTARI JAYA, 19 SEPT: Kerajaan Negeri dicadang menjadikan Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) khusus untuk penuntut yang belum menerima pelalian Covid-19.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata cadangan tersebut bagi memudahkan pelajar yang bakal kembali ke institusi pengajian tinggi (IPT) mulai pertengahan Oktober ini.

“Permohonan dibuat kepada Kerajaan Negeri kerana Selvax (Vaksin Selangor) mempunyai peruntukan bagi tujuan ini, saya percaya proses lebih mudah kerana terdapat lebih kurang 6,000 pelajar di kampus ini.

“Sekiranya pelajar digerakkan ke PPV luar mungkin agak rumit. Jadi, kita mencadangkan dibuat di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman dan tasik The Tomanz di sini semalam.

Sementara itu, Dr Mohammad Redzuan berkata pihaknya akan memastikan mahasiswa dan kakitangan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sebaik sesi pengajian bersemuka secara berperingkat bermula.

“Kita tahu pelajar sudah jemu belajar dalam talian kerana terlampau lama dan mahu kembali ke kampus, apatah lagi Unisel memiliki asrama serta fasiliti lengkap.

“Namun, kita tetap pastikan keselamatan pelajar terjamin dan ini (SOP) diberi perhatian cukup terperinci bagi membolehkan proses pembelajaran berjalan lancar,” katanya.

Pada 14 September, menteri pengajian tinggi memaklumkan lebih 1.2 juta pelajar IPT di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar lengkap divaksin membabitkan semua kategori dan semua fasa pelan pemulihan negara (PPN) dengan keutamaan diberi kepada mereka berkeperluan.

 


Pengarang :