Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja ketika Progam Vaksinasi Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Usah bimbang, vaksin Pfizer beri kesan sampingan ringan kepada remaja

BANGI, 30 SEPT: Vaksin Pfizer-BioNTech hanya memberi kesan sampingan ringan kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang menerima pelalian melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra Dr Saiful Bahri Md Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan vaksin tersebut mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kalau ikutkan tiada ubat yang tidak memberi kesan. Kesan sampingan vaksin Pfizer-BioNTech sangat rendah iaitu sekitar 0.01 peratus, jadi ibu bapa jangan risau kerana ia dijamin selamat.

Dr Saiful Bahri Md Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sekiranya individu itu mendapat kesan sampingan selepas divaksin, kita masih boleh kawal tetapi tidak akan membawa kepada kematian. Kalau ada (kematian), dari awal lagi vaksin tersebut tidak diluluskan,” katanya.

Beliau ditemui pada PICK Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini hari ini.

Dr Saiful berkata demikian bagi mengulas dakwaan lima remaja meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19 seperti dalam video tular di media sosial sejak kelmarin.

Sementara itu, beliau yang juga timbalan pengurus PPV terbabit berkata pihaknya akan memastikan remaja selesai divaksin menjalani pemantauan rapi antara 15 hingga 30 minit di ruang khas.

“Sukarelawan bertugas akan melihat reaksi mereka sepanjang tempoh berkenaan kerana kita dapati ada juga yang mengalami alahan tetapi nisbahnya sangat kecil, dalam 10,000 peserta akan ada dua orang (alahan),” katanya.


Pengarang :