Peserta selesai menerima suntikan pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Vaksin bergerak: Majikan lega pembantu rumah dapat suntikan pelalian

KLANG, 12 SEPT: Penantian seorang majikan menunggu dua pembantu rumahnya divaksin berakhir apabila mereka menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru, hari ini.

Amirah Zulkepli,29, berkata beliau mendaftarkan dua pembantu rumahnya di MySejahtera sejak Jun lalu namun sehingga kini tidak mendapat giliran.

Amirah Zulkepli,29

“Saya bersyukur apabila ada program vaksin bergerak kerana pembantu rumah dapat menjalankan kerja seperti biasa termasuk membeli keperluan harian.

“Sepanjang tidak divaksin saya tidak membenarkan mereka keluar kerana khuatir jangkitan kepada keluarga terutama anak-anak,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kontraktor warga Indonesia Dedi Sahputra,36, pula berkata beliau mendaftar di Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selepas dimaklumkan majikan mengenai program vaksin bergerak.

“Saya tidak sangka akhirnya giliran divaksin tiba kerana sebelum ini memang tidak keluar rumah dan bekerja,” katanya.

Sementara itu, pekerja kilang berasal dari India, Gurdev Singah,26, luah rasa lega akhirnya dapat suntikan vaksin dan kini lebih yakin untuk keluar bekerja.

Gurdev Singh, 26

“Saya lega kerana sudah mendapat vaksin kerana sebelum ini agak risau untuk keluar rumah. Saya juga lebih yakin untuk keluar bekerja,” katanya yang menerima suntikan serentak bersama empat rakan serumah.

Program Selvax bergerak bermula hari ini diadakan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.

Untuk permulaan Selvax bergerak melibatkan 11 DUN bermula di DUN Bandar Baru Klang dari 9 pagi hingga 5 petang. Program selama seminggu itu juga membabitkan DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :