Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya pada 5 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Vaksin bergerak mula minggu depan, sasar 1,000 penerima sehari

SHAH ALAM, 9 SEPT: Program vaksin bergerak bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian akan bermula minggu depan dengan sasaran 1,000 orang sehari.

EXCO kesihatan awam berkata pusat pemberian vaksin (PPV) secara mobil itu akan bergerak ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen dengan jadual serta lokasi akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

“Ada dua kaedah iaitu kita menggunakan bas dijadikan PPV bergerak ke lokasi dicadangkan wakil rakyat dan kumpulkan mereka di situ untuk divaksin.

“Bagi mereka yang terlantar, kita akan serahkan nama kepada JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor) dan PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) di mana ada NGO (badan bukan kerajaan) yang akan buat dari rumah ke rumah,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi.

Beliau berkata kaedah itu akan memberi manfaat kepada 1,000 individu sehari sekali gus dapat mempercepatkan imuniti kelompok di negeri ini.

Pada 24 Ogos, Dr Siti Mariah memaklumkan program vaksin bergerak anjuran Kerajaan Negeri dijadualkan bermula September ini bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima suntikan pelalian.

Katanya, klinik bergerak akan ditempatkan di sesuatu lokasi berpandukan maklum balas jumlah individu belum divaksin dari komuniti serta wakil rakyat di samping Klinik Selcare terus memberi suntikan kepada penerima yang datang.


Pengarang :