Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air, Kuching, Sarawak pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vaksin Covid-19: Calon SPM, STPM perlu diberi keutamaan terima suntikan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Keutamaan suntikan vaksin Covid-19 perlu diberi kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Mohammad Farhan Rusli berkata selain itu, keutamaan pembukaan sekolah juga patut diberi kepada pelajar yang menduduki peperiksaan penting itu sahaja

“Saya tidak bersetuju jika bulan depan sekolah dibuka untuk semua peringkat sebaliknya patut dibuka kepada pelajar yang ada peperiksaan seperti SPM dan STPM.

“Peperiksaan kepada murid darjah satu, dua atau tiga tidak penting buat masa ini, jangan kerana terlalu mahu mengejar gred peperiksaan kita meletak nyawa anak-anak dalam bahaya,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Mohammad Farhan juga mencadangkan pemberian vaksin kepada remaja bawah usia 18 tahun diadakan di sekolah berbanding pusat pemberian vaksin (PPV).

“Saya cadangkan pemberian vaksin dimulakan dengan projek rintis di sekolah berasrama kemudian di sekolah kebangsaan dan lain-lain secara berperingkat.

“Proses suntikan ini juga perlu selesai sebelum sekolah dibuka sepenuhnya bagi memastikan risiko pelajar dijangkiti Covid-19 itu rendah,” katanya.

Hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemberian vaksin kepada remaja berumur 18 tahun ke bawah akan dibuat secara berperingkat seiring tarikh pembukaan sekolah.


Pengarang :