Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada pelajar sekolah menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Terengganu pada 21 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Vaksin remaja tanpa janji temu di 156 PPV mulai Khamis

SHAH ALAM, 21 SEPT: Pemberian vaksin untuk remaja (PICK-Remaja) tanpa janji temu dimulakan pada 23 September membabitkan 156 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan di Twitter rasminya memaklumkan program suntikan itu melibatkan semua kategori remaja termasuk yang tidak bersekolah.

“Remaja yang tidak bersekolah dibenarkan hadir terus di PPV berdekatan tempat tinggal sementara yang menuntut di institusi pengajian tinggi bawah 18 tahun boleh ke PPV yang masih beroperasi,” kata KKM.

Kementerian itu turut memaklumkan hanya seorang sahaja sama ada ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk vaksinasi bagi mengelak kesesakan di PPV.

Semalam, menteri kesihatan berkata beberapa PPV sedia ada yang sedang beroperasi akan digunakan bagi memberi suntikan vaksin kepada pelajar sekolah.

Khairy Jamaluddin menjelaskan program yang menyasarkan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun turut menggunakan pendekatan secara jangkau luar di sekolah.

Sehingga 20 September, seramai 308,186 remaja divaksin melalui program berkenaan dengan tiada kesan sampingan serius dilaporkan dalam kalangan mereka.

KKM menyasarkan 60 peratus remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang November dan 80 peratus lengkap dua dos pada Januari tahun depan.

Berikut penerangan lanjut pemberian PICK-Remaja:

  • Secara jangkau luar ke sekolah atau institusi secara berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi
  • Janji temu dos pertama di klinik atau sekolah berhampiran rumah bagi remaja yang akan menduduki peperiksaan utama di sekolah asrama penuh atau harian, manakala dos kedua di sekolah
  • Remaja komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka
  • Remaja yang gagal hadir semasa janji temu di sekolah akan diberi janji temu di klinik kesihatan swasta berdekatan melalui aplikasi MySejahtera

 


Pengarang :