ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang tunai kepada mangsa banjir dari Kampung Tanjung Siam yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pasangan pada 22 September 2021. Foto Facebook Juwairiya
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat hulur bantuan makanan kepada penduduk terjejas banjir

SHAH ALAM, 24 SEPT: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz Shah akan menerima bantuan bakul makanan dan wang tunai dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata setakat ini seramai 26 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Tanjung Siam berada di PPS terbabit sejak beroperasi Selasa.

“Kita telah memberikan bantuan sama kepada mangsa banjir di PPS SK Pasangan manakala mangsa di PPS SK Abdul Aziz Shah akan disampaikan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) menyantuni mangsa banjir dari Kampung Tanjung Siam yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pasangan pada 22 September 2021. Foto Facebook Juwairiya

Sementara itu, beliau berkata PPS SK Abdul Aziz Shah dibuka sebagai tambahan kepada PPS SK Pasangan yang dihadkan untuk 16 keluarga sahaja bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh pandemik.

“Ketika lawatan kelmarin (Selasa), saya mendapati beberapa keluarga mangsa kampung tersebut masih belum mendapat penempatan sementara walaupun rumah mereka telah dinaiki air kerana kekangan SOP yang tidak membenarkan lebih dua keluarga dalam satu bilik darjah.

“Saya menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron untuk membuka sebuah lagi PPS berdekatan dan Alhamdulillah, mereka diberi penempatan. Saya berterima kasih kepada semua anggota masyarakat serta jabatan terlibat bagi memastikan keselamatan penduduk terjaga,” kata Juwairiya.

Selain Kampung Tanjung Siam, kejadian banjir kilat pada 18 September lalu menjejaskan penduduk di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, Kampung Parit Mahang dan Jeram.

Susulan itu, tiga PPS dibuka iaitu SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan bagi menempatkan mangsa yang membabitkan 68 keluarga.


Pengarang :