Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim melawat ke program vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru pada 22 September 2021. Foto ihsan Dato’ Teng Chang Khim
ADNEXCOSELANGOR

Wakil rakyat nasihat orang ramai daftar terima vaksin dos pertama segera

KLANG, 22 SEPT: Wakil rakyat Bandar Baru Klang menasihatkan orang ramai supaya mendaftarkan nama untuk menerima dos pertama vaksin Covid-19 segera.

Dato’ Teng Chang Khim berkata tindakan itu berikutan kerajaan sedang bergerak ke fasa dos ketiga pelalian.

“Setiap kali Kerajaan Negeri menganjurkan program vaksin ramai individu menyerbu sehingga ada segelintir meminta agar ia dilaksanakan lagi. Kita tidak boleh berterusan begini.

“Sekarang sudah masuk fasa kerajaan memberikan dos ketiga tetapi masih ada segelintir individu enggan atau lambat daftar untuk terima suntikan (vaksin) pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru di sini, hari ini.

Mengenai program itu, Chang Khim berkata sebanyak 700 dos vaksin negeri habis disuntik kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang hari ini.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata penduduk sekitar Klang yang tidak sempat menerima vaksin boleh hadir ke Kompleks Sukan Pandamaran pada 26 September ini.

“Saya menyeru orang ramai supaya bertindak segera daftarkan diri menerima vaksin supaya dapat membantu mencapai imuniti kelompok disamping memudahkan kita bergerak kepada fasa dos ketiga,” katanya.

Bermula 13 September program Selvax bergerak dijalankan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menggunakan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan bergerak ke seluruh DUN dan Parlimen mengikut jadual.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

 


Pengarang :