Low Yuh Hwa bergambar kenangan selepas menerima suntikan vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves pada 16 September 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Wanita pulih rawatan bedah jantung teruja terima vaksin negeri

GOMBAK, 16 SEPT: Seorang wanita pulih daripada rawatan pembedahan jantung dialaminya baru-baru ini teruja menerima vaksin Kerajaan Negeri.

Low Yuh Hwa, 48, yang hadir bersama rakannya ke program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak semalam berharap suntikan pelalian itu dapat membuka rezekinya untuk kembali bekerja.

“Hampir setahun tidak mengambil upah mengemas rumah orang kerana doktor nasihat untuk berehat dahulu, termasuk kebanyakan majikan juga takut untuk menerima individu tidak divaksin.

M Ramachandran menerima suntikan vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves pada 16 September 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Saya amat lega apabila rawatan jantung sudah pulih dan semoga apabila selesai suntikan saya dapat kembali bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves semalam.

Manakala, seorang remaja Salsabila Ali, 18, berkata beliau terpaksa menolak janji temu yang pernah diterima menerusi aplikasi MySejahtera kerana tiada pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin yang agak jauh dari rumah.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) ada suntikan di sini yang mana hanya 10 minit dari rumah, tanpa berfikir panjang saya hadir terus bersama ibu yang belum divaksin.

“Kepada remaja yang belum divaksinasi saya nasihatkan segera ambil suntikan ini supaya kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya.

Selain itu, seorang warga emas kurang upaya, M Ramachandran, 81, berkata janji temu pernah diterima sebelum ini terpaksa dibatalnya kerana lokasi di Klang yang agak jauh dari kediaman beliau di Sri Damansara.

“Hari ini anak bawa saya ke sini untuk vaksinasi, proses sangat mudah dan tidak memakan masa yang lama, program ini patut diteruskan,” katanya.


Pengarang :