Muhammad Fuaad Abd Rahman, bergambar kenangan selepas menerima suntikan vaksin pada program Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves pada 15 September 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Warga emas buang stigma negatif, terima suntikan vaksin Covid-19

GOMBAK, 15 SEPT: Seorang warga emas membuang stigma negatif berhubung vaksin Covid-19 yang pernah didengarnya sebelum ini dan memilih untuk terima pelalian itu semalam.

Muhammad Fuaad Abd Rahman, 60, berkata sebelum ini beliau sering mendengar berita individu divaksin boleh mati sehingga merencatkan niatnya untuk menerima pelalian.

“Dulu ketika awal-awal vaksin masuk Malaysia, banyak tular mesej dan video individu divaksinasi boleh meninggal dunia termasuk ia membahayakan kesihatan terutama kepada warga emas macam saya.

“Tetapi lama kelamaan saya melihat kes Covid-19 semakin tinggi, orang ramai juga mula mengambil vaksin termasuk anak-anak saya turut menasihatkan kami ambil pelalian. Jadi hari ini saya hadir dengan isteri untuk divaksinasi,” katanya.

Beliau antara 600 individu yang menerima suntikan pelalian itu menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves semalam.

Pada masa sama, Muhammad Fuaad menyeru golongan anti-vaksin menangkis stigma negatif dan segera mengambil suntikan itu yang mana sedikit sebanyak membantu melindungi diri daripada dijangkiti wabak.

“Sekarang banyak sektor ekonomi seperti pusat membeli-belah, kedai, pasar hanya membenarkan individu lengkap vaksin sahaja masuk ke premis.

“Saya rasa perlu untuk terima vaksin jika kita mahu pergi ke tempat tersebut dan pada masa sama mungkin dengan suntikan boleh membantu memulihkan ekonomi dan kurangkan kemasukan pesakit ke hospital,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 13 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Untuk permulaan ia melibatkan 11 DUN dan program berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Gombak Setia, DUN terlibat Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :