Orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Dataran Putra pada 31 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Warkah Kita Selangor peluang anak muda luah harapan menerusi karya

SHAH ALAM, 11 SEPT: Golongan muda digalakkan menyertai pertandingan menulis warkah bertemakan #KitaSelangor 2021 bagi meluahkan harapan masing-masing menerusi karya.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata golongan muda perlu melihat ini sebagai peluang kerana luahan mereka itu akan dibaca oleh pemimpin yang secara tidak langsung dapat mengetahui kehendak generasi muda.

“Jangan lihat ini hanya pertandingan semata-mata tetapi juga peluang untuk berkomunikasi. Luahkan apa sahaja masalah, harapan anda kerana akan ada pemimpin yang akan mendengar keluhan ini dan membantu anda.

“Cuma harapan saya setiap penulisan itu biarlah membina dan kami sebagai pembaca jika ia perit untuk diterima kami akan terima kerana yang perit itu adalah yang terbaik untuk semua memahaminya,” kata Datin Paduka Mastura Muhammad ketika dihubungi SelangorKini.

Ditanya perkembangan pertandingan itu, beliau berkata PPAS menerima ratusan pertanyaan dalam kalangan belia dan setakat ini pihaknya menerima lima penyertaan.

Pada 30 Ogos lalu, perbadanan itu menerusi Facebook memaklumkan penyertaan pertandingan terbuka kepada dua kategori iaitu remaja berusia 15 sehingga 17 tahun (kategori A) dan belia berusia 18 sehingga 35 tahun (kategori B).

Warkah boleh dihantar melalui e-mel [email protected] dengan melengkapkan butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, emel, nombor telefon dan alamat sebelum 30 September ini.

Bertemakan Harapan Anak Muda Buat Nusa Bangsa, pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, kedua (RM800), ketiga (RM700) dan 30 hadiah sagu hati berjumlah RM100.

Maklumat lanjut boleh hubungi talian 013-826 0950 / 03-3216 4630 / 019-365 6586 atau layari laman web www.ppas.gov.my dan Twitter @selangorlibrary.


Pengarang :