AGENDANASIONAL

WHO isytihar wabak polio di Malaysia tamat – Khairy

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Wabak polio di Malaysia diisytiharkan tamat susulan perutusan rasmi Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura kepada Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pengisytiharan ini dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang telah melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan di Malaysia.

“Berdasarkan penilaian tersebut, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak tersebut telah diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularan wabak polio,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

Khairy berkata susulan kejayaan menamatkan wabak polio di Malaysia, masyarakat perlu terus berwaspada kerana masih terdapat negara di dunia yang belum bebas daripada jangkitan polio.

“Kita perlu pastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio dan seterusnya Malaysia terhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang. Selain daripada itu, KKM akan mempastikan survelan ‘Acute Flaccid Paralysis’ (AFP) dan survelan persekitaran yang berkualiti terus dilaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan,” katanya.

Khairy berkata pada penghujung 2019, Malaysia dikejutkan dengan pengesahan satu kes polio yang dikesan di Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada kes polio.

Susulan pengesahan kes polio tersebut, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan, dan masih diteruskan walaupun negara turut dilanda pandemik Covid-19, katanya.

Beliau berkata KKM telah mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan AFP di seluruh negara.

AFP ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio dan dalam pelaksanaan survelan ini, setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun diambil sampel najis untuk mengesan virus polio.

Khairy berkata dari 1 Jan 2019 hingga 9 Sept 2021, sebanyak 426 kes AFP telah dilaporkan di seluruh negara dan empat daripadanya telah disahkan dijangkiti polio, kesemuanya dilaporkan di Sabah yang masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun, sementara kes yang terakhir telah mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Jan tahun lepas.

Katanya kes yang disahkan polio ini didapati tiada atau tidak lengkap imunisasi polio.

Khairy berkata tindakan pencegahan dan kawalan wabak polio oleh KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio.

Beliau berkata Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS) telah dilaksanakan secara berperingkat semenjak 27 Disember 2019 sehingga 20 Januari 2021 melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di negeri itu.

Katanya sebanyak dua dos vaksin “bivalent oral polio” jenis 1 dan 3 (bOPV) dan dua dos vaksin “monovalent oral polio” jenis 2 (mOPV2) diberikan secara titisan ke dalam mulut.

“Melalui kempen imunisasi polio ini, seramai 809,261 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV, manakala 784,062 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin mOPV2.

Di Labuan pula, Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL) telah dijalankan dari 11 Jun 2020 hingga 6 November 2020 melibatkan pemberian dua dos vaksin ‘bivalent oral polio’ jenis 1 dan 3 (bOPV) dengan menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun. Seramai 24,297 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin bOPV di Labuan,” katanya.

Di samping itu, Khairy berkata imunisasi polio melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) diteruskan di seluruh negara bagi bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan polio.

Imunisasi polio ini diberikan melalui suntikan vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen polio, difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol) dan Haemophilus influenzae type b kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan, katanya.

Beliau berkata pada penghujung 2020 berlaku sedikit perubahan dalam jadual PIK dan vaksin lima serangkai ini ditukar kepada vaksin enam serangkai (DTaP-IPV/HepB/Hib) dengan tambahan antigen untuk penyakit Hepatitis B.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga KKM terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Labuan.

“Mereka ini adalah wira barisan hadapan yang menjayakan usaha untuk menamatkan wabak polio walaupun pada masa yang sama turut berjuang untuk mengawal pandemik COVID-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :