AGENDANASIONAL

Yayasan Hijrah tawar susun semula pinjaman, ringan beban usahawan terkesan

SHAH ALAM, 8 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan skim penjadualan semula kepada peminjam yang berdepan masalah untuk membayar balik pembiayaan menerusi Kempen Pemulihan Kredit.

Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata inisiatif yang bermula awal Ogos lalu bertujuan meringankan beban usahawan susulan dampak Covid-19.

“Kita memahami kesukaran dihadapi peminjam walaupun diberi moratorium secara automatik selama enam minggu sebelum ini.

Kebanyakan ada yang tidak mampu membayar balik dengan kadar sepatutnya.”Jadi, kita memutuskan untuk melaksanakan kempen ini dengan harapan agar dapat membantu usahawan yang terjejas,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata sejak kempen dilaksanakan, pejabat cawangan menerima kehadiran ramai peminjam yang berminat untuk membuat penstrukturan semula pinjaman mereka.

“Pegawai kutipan di 20 cawangan Hijrah akan menyemak dahulu nama-nama peminjam yang masih mempunyai baki pinjaman tertunggak sebelum menghubungi dan tawarkan inisiatif ini kepada usahawan,” katanya.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir 31 Julai lalu.

Inisiatif menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.


Pengarang :