Kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur mengenakan sut perlindungan diri (PPE) susulan kenaikan kes Covid-19 ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS
SELANGOR

Yayasan Ikhlas sasar kutipan dana RM2 juta, teruskan misi agihan PPE

SHAH ALAM, 25 SEPT: Yayasan Ikhlas menyasarkan kutipan dana berjumlah RM2 juta dalam tempoh tiga bulan untuk meneruskan misi agihan peralatan perlindungan diri (PPE) dan perubatan kepada petugas kesihatan di seluruh negara.

Pengerusinya Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menyeru orang ramai menyalurkan sumbangan melalui Tabung Wira Covid-19 yang dibuka sehingga akhir tahun ini bagi mencapai sasaran tersebut.

“Melalui kutipan ini, kita akan agihkan bantuan PPE meliputi pakaian perlindungan diri, pelitup muka, pelindung muka dan alat perubatan kepada Jabatan Kesihatan Negeri seluruh negara mengikut keperluan mereka.

“Saya ingin menyeru barisan korporat dan dermawan dalam kalangan rakyat untuk turut mengambil bahagian menyumbang bagi meringankan beban dihadapi petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan PPE kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman di Ibu Pejabat JKNS di sini semalam.

Mengulas lanjut, Prof Dr Zainur berkata pihaknya akan mengagihkan keperluan sama di beberapa negeri minggu depan.

“Kita akan ke JKN Pulau Pinang pada Isnin (27 September) dengan agihan bantuan berjumlah RM224,000 seterusnya ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada keesokan harinya dan Hospital Sik, Kedah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh membuat pemindahan wang ke akaun bernombor 562834636228 (Maybank Islamic), (Rujukan: WIRACOVID).


Pengarang :