Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti Yide Md Arifin Jaafar (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Labohan Dagang, Banting pada 7 September 2021. Foto YIDE
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide sumbang duit, keperluan asas bantu mangsa ribut

SHAH ALAM, 8 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyalurkan bantuan kepada seorang mangsa yang terjejas akibat ribut di Kampung Labohan Dagang, Banting petang kelmarin.

Pengurus operasi bahagian kebajikan dan publisitinya berkata berkata sumbangan wang tunai berjumlah RM500 dan dua pek keperluan asas bagi meringankan beban mangsa Samsiti Taib yang berusia lingkungan 70-an.

“Yide selaku anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang menguruskan hal ehwal musibah atau malapetaka dan bencana alam di Selangor telah menziarahi mangsa serta menyampaikan sumbangan.

“Yide berterima kasih kepada semua penyumbang yang menyalurkan sumbangan melalui Infaq Dana-Musibah bagi membolehkan golongan sasar dibantu,” kata Md Arifin Jaafar dalam kenyataan.

Beliau berkata kejadian jam 4.30 petang mengakibatkan struktur bumbung ruang dapur rosak teruk akibat diterbangkan angin selain meranapkan beberapa bahagian binaan rumah mangsa.

Bagaimanapun katanya, mangsa bersyukur kerana insiden yang berlaku terlalu pantas itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian melalui billplz di pautan https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/

Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai mengikut subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, melalui resit rasmi Yayasan Islam Darul Ehsan.

Perkongsian maklumat berkenaan bencana alam pula boleh dibuat dengan menghubungi Eksekutif Kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan di talian 017-7569476.

 


Pengarang :