Selangorkini
Chua Wei Kiat (kiri) mengedarkan 300 bakul makanan khas kepada masyarakat India sempena Deepavali pada 17 Oktober 2021. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,000 masyarakat India di Rawang dibantu sempena Deepavali

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 1,000 keluarga masyarakat India sekitar Rawang menerima sumbangan sempena Deepavali yang diraikan awal bulan hadapan.

Bantuan khusus buat golongan terkesan akibat Covid-19 itu merangkumi 300 bakul makanan dan 700 baucar Jom Shopping, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang.

“Sebanyak 300 kotak bakul makanan khas yang mengandungi bahan-bahan untuk masakan tradisional diedar dengan setiap pek bernilai RM60 selain baucar Jom Shopping,” kata Chua Wei Kiat.

Beliau berkata pihaknya menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan perayaan itu sebelum ini, namun mengubah sambutan dengan mengagih bantuan susulan pandemik.

“Setakat ini lebih 3,000 keluarga masyarakat India dibantu ketika Covid-19 dengan pelbagai kaedah merangkumi bakul makanan, bantuan perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Pada 1 September, Wei Kiat mengerakkan seramai 50 sukarelawan termasuk ketua kampung bagi mengenal pasti golongan memerlukan di sekitar Rawang untuk dibantu.

Beliau turut memberi jaminan untuk terus membantu individu yang hilang pendapatan akibat penularan Covid-19 meski sektor ekonomi kembali dibuka.


Pengarang :