JPJ Selangor dibantu Trafik PDRM menjalankan Ops Merah di laluan motosikal di Petaling Jaya pada 12 Oktober 2021. Foto MUSTAKIM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

11 maut daripada 88 kemalangan babit penunggang p-panggilan di Selangor

PETALING JAYA, 12 OKT: Sebanyak 11 kematian direkodkan membabitkan penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-panggilan tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berkata jumlah itu berdasarkan 88 kes kemalangan yang dilapor sejak Januari hingga Ogos lalu.

“Daripada jumlah itu juga 12 penunggang parah, manakala 65 lagi mengalami kecederaan ringan,” kata Nazli Md Taib selepas operasi khas (Ops Merah) di laluan motosikal di sini, hari ini.

Beliau berkata data yang diperoleh dari Trafik Bukit Aman itu membimbangkan kerana Selangor antara penyumbang angka kematian tertinggi seluruh negara.

Katanya, angka kematian membabitkan p-panggilan seluruh negara adalah 36 kes dengan 11 sahaja di Selangor, manakala cedera parah seluruh negara 31 kes dan di Selangor pula 12 kes.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya mula menjalankan Ops Merah selama sebulan bermula 8 Oktober sehingga 7 November ini di beberapa lokasi di seluruh negeri.

“Operasi ini bukan sahaja untuk mengesan kesalahan malah advokasi dengan pihak kita memberikan vest pantul cahaya dan risalah berkaitan keselamatan,” katanya.

Berdasarkan statistik Trafik Bukit Aman sebanyak 451 kes kemalangan membabitkan p-panggilan dilaporkan sejak 2019 hingga Ogos lalu dengan 72 maut, 54 parah dan 325 cedera ringan.


Pengarang :