Dato’ Teng Chang Khim ketika ditemu bual Media Selangor sempena program sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor 2021 di Bangunan SUK, Shah Alam pada 2 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

120 usahawan dilahir menerusi Program Pemecut Selangor

SHAH ALAM, 24 OKT : Kerajaan Negeri berjaya melahirkan seramai 120 usahawan e-dagang menerusi Program Pemecut Selangor (SAP) sejak diperkenalkan pada 2018.

EXCO Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim berkata program tiga bulan itu bukan sahaja dapat mencungkil bakat peserta sebaliknya memahirkan usahawan dalam selok-belok perniagaan.

“Kerajaan Negeri menggalakkan lebih ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) terlibat dalam program ini selain berusaha beralih ke arah pendigitalan.

“Program ini merupakan kejayaan besar buat Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) bagi memastikan usahawan IKS terus maju dalam perniagaan meskipun ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembukaan bilik pameran hiasan dalaman dan jubin Yellow Box by Homa di Taman Perindustrian Subang di sini, semalam.

Pada masa sama, Chang Khim berkata SAP diteruskan lagi pada tahun depan selepas melihat banyak kejayaan diraih usahawan yang mengikuti program tersebut.

Pada tahun ini sebanyak 30 syarikat pemula bakal dipilih menyertai SAP 2021 untuk melonjakkan perniagaan yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Peserta SAP 2021 merangkumi sembilan syarikat berkaitan e-dagang, masing-masing enam berkaitan teknologi pertanian dan perbankan, lima berkaitan teknologi hijau, tiga berkaitan teknologi pendidikan serta satu berkaitan perbandaran pintar.

SAP merupakan program berstruktur yang berlangsung selama tiga bulan bertujuan untuk memberi persediaan kepada syarikat pemula dalam menerima pelaburan.

 

 


Pengarang :