Petugas kesihatan, memberi kaunseling sebelum penerima bersetuju bagi mengambil suntikan pelalian Covid – 19 ketika Program vaksinasi khas guru kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

130 guru Kafa enggan vaksin dibawa jumpa pakar agama

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 130 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor yang enggan mengambil vaksin akan dibawa bertemu pakar agama termasuk mufti dalam masa terdekat.

Pertemuan kali kedua bagi memberi kesedaran kepada guru terbabit untuk menerima suntikan pelalian, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Perjumpaan pertama di masjid negeri sebelum ini mereka tidak ditemukan dengan pakar dan hanya di peringkat pentadbiran, namun ada dua guru Kafa yang sedar untuk mengambil vaksin.

“Kita melihat kebajikan mereka ini (guru Kafa), sebab itu pihak mempunyai bidang kuasa seperti jabatan mufti dan bahagian dakwah dijemput untuk memberikan penjelasan kepada mereka (berkaitan vaksin),” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menggesa guru Kafa yang belum berbuat demikian supaya membuat pertimbangan sewajarnya demi keselamatan bersama.

“Dengan keadaan wabak ketika ini, nyawa menjadi keutamaan. Jangan kerana sikap kita itu menyebabkan diri sendiri, keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga menjadi mangsa,” katanya.

Pada 22 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.


Pengarang :