Orang ramai hadir melihat peluang kerjaya semasa Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 23 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

15 orang dapat kerja dalam sejam pertama Jelajah Selangor Bekerja

SHAH ALAM, 23 OKT: Seramai 15 orang mendapat pekerjaan dalam tempoh satu jam pertama penganjuran program Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang bermula hari ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata perkembangan itu membuktikan kejayaan inisiatif Kerajaan Negeri berkenaan membantu pencari kerja terutama mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, setakat ini program itu menerima 10,000 pendaftaran dari seluruh negara menerusi laman sesawang www.selangorbekerja.com.my dan mereka akan dipanggil untuk temu duga oleh majikan berpotensi.

“Dalam fasa empat ini (Pelan Pemulihan Negara), kita jangka banyak syarikat mula mencari lebih ramai pekerja bagi meningkatkan pengeluaran selepas memperlahankannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan Negeri bantu proses pemulihan ini termasuk dengan cara menganjurkan program mencari kerja,” katanya selepas meninjau program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Hampir 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program hari ini yang bermula jam 10 pagi hingga 5 petang yang membabitkan penyertaan 40 majikan daripada syarikat ternama termasuk sektor aeroangkasa.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

30 Oktober: Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Bandar Baru Kuala Selangor
6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu
13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat
20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
27 November: Dewan Jubli Perak, SUK


Pengarang :