Selangorkini
Keadaan Kampung Labu Lanjut, Sepang ketika dilanda banjir kilat pada 21 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

176 mangsa banjir tiga negeri masih di pusat pemindahan 

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Seramai 176 orang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Melaka, Selangor dan Kedah setakat 9 pagi ini.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata empat orang daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

Beliau berkata penduduk terlibat masih berada di PPS berkenaan disebabkan bekalan elektrik ke rumah mereka belum disambung, namun kerja-kerja penyambungan dijangka selesai hari ini.

Di Selangor, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan terdapat 32 orang daripada sembilan keluarga berada di dua PPS di Sepang iaitu Sekolah Rendah Agama Kampung Giching (31 orang) dan Balai MPKK Kampung Giching (seorang).

Sementara itu, di KEDAH seramai 140 orang daripada 36 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dekat Pendang yang dibuka sejak Ahad.

-BERNAMA

 


Pengarang :