Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

179 kes baharu Covid-19 kategori tiga, empat dan lima

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Hanya 1.5 peratus atau 179 daripada 11,889 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, terdiri daripada individu dalam kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 11,710 kes atau 98.5 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua atau bergejala ringan.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 11,875 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 11,000 warganegara dan 875 rakyat asing manakala 14 kes adalah kes import (enam warganegara, lapan rakyat asing),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 15,891 kes sembuh hari ini dengan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini kini 2,070,715 iaitu 91.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 904 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 850 yang disahkan positif Covid-19 manakala 54 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 492 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 380 yang disahkan positif Covid-19 manakala 112 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan 14 kluster baharu dikesan dengan tujuh daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja manakala enam berkaitan penularan dalam komuniti dan satu kluster keagamaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.90.

“Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.02 manakala kesemua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 dan Labuan catatkan nilai 0,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan dalam laman GitHub dan laman sesawang Covidnow menerusi https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

– BERNAMA


Pengarang :