Individu yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Shah Alam perlu menunjukkan kad kehadiran sebelum dibenarkan masuk ketika tinjauan pada 3 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

2,000 jemaah dibenar solat Jumaat di Masjid Negeri

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Negeri setuju menambah jumlah jemaah solat Jumaat di Masjid Negeri kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang sebelum ini.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan jumlah jemaah bagi solat lima waktu kekal 500 orang.

Dalam infografik sama, pentadbir dan surau tidak membenarkan pegawai masjid dan surau kebenaran solat Jumaat yang belum divaksin hadir mengendalikan solat Jumaat dan lima waktu.

Mana-mana pegawai masjid dan surau kebenaran solat Jumaat yang masih enggan mengambil vaksin hendaklah membuat laporan kepada pejabat agama Islam daerah.

Pada 22 September lalu, Kerajaan Negeri membenarkan solat Jumaat untuk 1,000 orang di Masjid Negeri dan 500 orang bagi solat berjemaah lima waktu.

Kelonggaran ini untuk ahli jemaah di dalam kariah masing-masing yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Ketetapan bilangan jemaah termasuk pentadbir itu berdasarkan kapasiti rumah ibadat seperti berikut:

Solat Jumaat (700 jemaah) dan solat fardu lima waktu (300 jemaah)
-Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya

Solat Jumaat (600 jemaah) dan solat fardu lima waktu (300 jemaah)
-Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang dan masjid daerah

Solat Jumaat (400 jemaah) dan solat fardu lima waktu (300 jemaah)
-Masjid pengurusan

Solat Jumaat (500 jemaah) dan solat fardu lima waktu (300 jemaah)
-Masjid institusi

Solat Jumaat (350 jemaah) dan solat fardu lima waktu (200 jemaah)
-Masjid kariah

Solat Jumaat (250 jemaah) dan solat fardu lima waktu (200 jemaah)
-Surau kebenaran solat Jumaat

Bagi surau kariah dan musolla pula jumlah jemaah solat lima waktu dibenarkan seramai 100 orang.


Pengarang :