KPDNHEP Selangor merampas beg silang jenama tiruan bernilai RM31,100 ketika serbuan di sebuah premis di Batu Caves, Gombak pada 21 Oktober 2021. Foto KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

3,110 beg silang jenama tiruan bernilai RM31,100 dirampas

SHAH ALAM, 25 OKT: Sebanyak 3,110 unit beg silang dengan nilai keseluruhan RM31,100 dirampas dalam serbuan di Batu Caves, Gombak pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata seorang lelaki berusia lingkungan 25 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Serbuan di stor penyimpanan dan pusat pengurusan jualan barangan atas talian dijalankan hasil aduan pemilik cap dagang berdaftar.

“Pengesahan salah laku cap dagang ini dibuat oleh wakil cap dagang yang hadir bersama semasa serbuan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Menurutnya, jika sabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan cap dagangan berdaftar,” katanya sambil memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan sama ada dalam talian atau fizikal,” katanya.


Pengarang :