EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Iris Fasa 1C, Taman Bunga Raya, Serendah, Hulu Selangor pada 7 Oktober 2021. Foto : Facebook Rodziah Ismail
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

348 projek rumah mampu milik lulus setakat 30 September

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri meluluskan 348 projek membabitkan 205,584 unit pembangunan rumah mampu milik Rumah Selangorku setakat 30 September lalu.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata daripada jumlah itu sebanyak 24,090 unit siap dibina dan diserahkan kunci manakala 18,825 sedang dibina.

“Secara keseluruhan melalui pelaksanaan dasar Rumah Selangorku Kerajaan Negeri berjaya membantu seramai 42,915 individu yang juga merupakan pembeli rumah pertama yang rata-ratanya pasangan muda.

“Saya difahamkan mereka juga antara penyewa Rumah Selangorku yang kini bertukar status daripada menyewa kepada memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Iris Fasa 1C, Taman Bunga Raya, Serendah, Hulu Selangor semalam.

Menurutnya inisiatif menyewa kepada membeli kediaman itu juga menyumbang kepada perkembangan ekonomi di Selangor yang dianggarkan bernilai RM6.30 bilion.

“Kita jangka rumah yang sedang dibina ini siap secara berperingkat dan pembeli boleh duduk bermula akhir tahun ini sehingga 2023,” katanya.

Kerajaan Selangor melancarkan dasar Rumah Selangorku sejak tahun 2014 dengan menawarkan kepelbagaian harga bermula dari RM42,000 sehingga RM250,000 seunit.


Pengarang :