Selangorkini
Seorang peniaga perabot rotan membuka separuh pintu kedainya ketika tinjauan di sekitar bandar raya George Town, Pulau Pinang pada 30 September 2021. Foto BERNAMA
EKONOMI NASIONAL

37,415 usahawan terpaksa ‘gulung tikar’ akibat pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OKT – Sebanyak 37,415 usahawan terpaksa ‘gulung tikar’ sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 26,007 daripadanya adalah usahawan mikro manakala bakinya 2,738 adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru, katanya kementerian menyambut baik keputusan kerajaan untuk menarik semula larangan rentas negeri yang bermula semalam.

“Pengumuman ini merupakan langkah yang terbaik dan peluang kepada rakyat terutamanya usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi memulihkan perniagaan mereka dan yang penting meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noh, semua sektor perniagaan terutama sektor informal akan menerima ganjaran pendapatan setelah melalui fasa pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO).

“Saya telah menggariskan dasar dengan menumpukan kepada penyelarasan dan penjajaran pelaksanaan program-program di kementerian dan 11 agensi di bawahnya bagi memastikan segala inisiatif dan pakej-pakej yang diperkenalkan oleh kerajaan sampai kepada golongan usahawan PMKS yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata penyelarasan ini meliputi kumpulan sasar, nilai pembiayaan, kadar bantuan, geran, skop program dan mekanisma pelaksanaan.

“Kumpulan fokus tersebut adalah golongan usahawan dan koperasi yang terkesan akibat Covid-19; golongan yang diberhentikan kerja dan berminat untuk menjadi usahawan dan graduan yang tiada pekerjaan dan ingin menjadi usahawan; golongan asnaf serta usahawan yang menggunakan modal sendiri,” katanya.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :