Petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyantuni dan menyampaikan hamper kepada seorang ibu yang melahirkan bayi di sebuah hospital di Shah Alam pada 10 Oktober 2021. Foto ihsan MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

60 bayi terima hamper sempena ulang tahun MBSA ke-21

SHAH ALAM, 12 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang hamper kepada 60 bayi yang lahir pada Ahad lalu sekitar bandar raya ini sempena sambutan ulang tahun ke-21.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata hamper kelengkapan bayi bernilai RM150 itu sebagai tanda kesyukuran selain berkongsi kegembiraan dengan kelahiran terbabit.

“Tarikh 10 Oktober sangat bermakna kepada MBSA kerana pada 20 tahun lalu majlis dinaik taraf daripada perbandaran kepada bandar raya.

“Pemberian kepada Hospital Shah Alam sebanyak 30 manakala Avisena Women’s & Children’ Specialist Hospital, KPJ Selangor Specialist Hospital dan Hospital UMRA Shah Alam masing-masing 10 hamper,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya juga menawarkan beberapa insentif kepada orang awam sepanjang bulan ini antaranya pengurangan kompaun, keahlian percuma perpustakaan MBSA dan penggunaan skuter elektrik percuma untuk lima minit pertama.

“Tempat letak kereta percuma di Wisma MBSA pada 11 Oktober turut diberikan,” katanya.

Pada Jumaat Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata pihaknya turut mengadakan majlis bacaan yasin, doa selamat, kayuhan basikal, kuiz Shah Alam Bandar Rayaku dan hari bertemu pelanggan.


Pengarang :