Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja di PPV Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

62.5 peratus pelajar 12 hingga 17 tahun terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Seramai 1,967,549 (62.5 peratus) remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 5 Okt, sekali gus melebihi sasaran awal ditetapkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menerusi ciapan yang dimuat naik di laman Twitternya berkata jumlah penerima dos pertama itu termasuklah 343,231 (90.9 peratus) remaja berusia 16 tahun dan 344,933 (92.8 peratus) remaja berusia 17 tahun yang bersekolah.

“Berdasarkan perkembangan semasa, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan, iaitu 60 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 menjelang bulan November 2021,” katanya.

Beliau juga berkata sasaran itu telah berjaya dicapai lebih awal daripada jangka masa yang disasarkan hasil kerjasama dan bantuan daripada semua pihak khususnya para remaja, ibu bapa dan penjaga.

“Lebih manis lagi, sasaran ini tercapai hanya dalam tempoh 14 hari semenjak PICK Remaja dilancarkan pada 20 Sept 2021. Pencapaian ini sememangnya merupakan suatu perkembangan yang amat baik dalam usaha bersama kita mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Dr Noor Azmi juga mengucapkan tahniah kepada kementeriannya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bahagian Pendidikan Majlis Amanah Rakyat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan.

— BERNAMA


Pengarang :