Orang ramai beratur menunggu giliran untuk menjalani Saringan Percuma Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Meru pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

6,630 kes harian, hanya 1.5 peratus kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Hanya 1.5 peratus atau 101 kes daripada 6,630 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, melibatkan individu dalam kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen dan kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 6,529 kes atau 98.5 peratus pula, terdiri daripada mereka dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 6,615 kes melibatkan penularan dalam negara, manakala 15 kes adalah kes import,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 7,630 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,311,213.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 653 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 322 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata 12 kluster baharu dikenal pasti membabitkan enam kluster tempat kerja, tiga kluster pendidikan lain, dua kluster komuniti dan satu kluster keagamaan.

Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan tempatan berusia tiga tahun menjadi kes indeks kluster Jalan Enam Kampung Bahru di Sepang, apabila didapati positif pada 11 Okt hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan pelajar-pelajar di sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan 6, Kampung Bahru Lanjut, Sepang. Individu mula bergejala pada 7 Okt dan kini terdapat 14 individu telah dijangkiti daripada 27 saringan yang dijalankan,” katanya.

Bagi kluster Jalan Dataran Wangsa, seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun dikenal pasti sebagai kes indeks selepas dilaporkan positif pada 16 Okt, hasil saringan individu bergejala.

Kes mula bergejala pada 13 Okt dan hasil saringan bagi kluster yang melibatkan pelajar dan kakitangan pusat pendidikan di Jalan Dataran Wangsa 1, Wangsa Melawati, Titiwangsa ini mengesan 11 individu disahkan positif daripada 50 saringan dijalankan.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA


Pengarang :