Ilustrasi tekanan mental yang dialami seorang lelaki. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

700 khidmat kaunseling bantu atasi tekanan akibat pandemik

SHAH ALAM, 13 OKT: Dianggarkan 700 khidmat kaunseling berkaitan kesihatan mental diberikan Pusat Kaunseling Selangor Talian Sahabat (PKS-TS) sejak penularan Covid-19 hingga September lalu.

Sesi dibuat secara maya antaranya menerusi WhatsApp dan Telegram sebagai langkah pencegahan serta bantuan awal kepada individu terbabit, kata penyelarasnya Rinatho Nunchi.

“Kita memberikan khidmat kaunseling secara percuma dan mengalu-alukan mereka menghadapi masalah mental mendapat bantuan,” katanya dalam program bual bicara di Facebook Media Selangor malam tadi.

Susulan peralihan ke fasa endemik, Rinatho berkata khidmat sokongan dibuat secara bersemuka sejak awal bulan ini di Kompleks PKNS di sini selain cawangan Sepang, Selayang dan Subang Jaya.

“Kaedah bersemuka ini membolehkan kami memberi bantuan lebih lanjut kerana dapat menilai individu berdasarkan pergerakan, maklum balas dan emosi,” katanya menambah pusat itu dikendalikan 30 kaunselor bertauliah.

Pada 17 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menawarkan khidmat nasihat kepada individu yang berdepan masalah tekanan mental melalui PKS-TS.

Beliau berkata inisiatif itu berikutan bimbang isu tekanan mental terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Mereka yang ingin mendapat bantuan boleh menghubungi talian 03 5519 0500 atau WhatsApp 013 300 9291 dan mengikuti Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat.


Pengarang :