Seorang warga emas Che Ismail Che Tahir berusia 101 tahun (kiri) ditemani cucunya Mohd Jailani Harun, 52, hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 25 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

87.6 peratus populasi dewasa lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sebanyak 20,513,168 individu atau 87.6 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing setakat semalam.

Perkembangan terbaru itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa kini tinggal kira-kira 2.4 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal Covidnow, 94.3 peratus atau 22,081,548 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam juga, seramai 108,826 atau 3.5 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 206,574 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 96,024 dos pertama dan 110,550 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,352,079 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, 14 kes kematian harian akibat Covid-19 dilaporkan semalam dengan satu daripada jumlah itu membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,683.

– BERNAMA


Pengarang :