Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

8,743 jangkitan baharu, 14,422 kes sembuh Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Malaysia mencatatkan kes sembuh Covid-19 sebanyak 14,422 kes, mengatasi jumlah kes baharu iaitu 8,743 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata daripada 8,743 kes baharu Covid-19 itu 98.6 peratus atau sebanyak 8,621 kes adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Sementara 122 kes atau 1.4 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 hari ini 14 adalah kes import melibatkan tujuh warganegara dan tujuh lagi bukan warganegara sementara 8,729 adalah kes tempatan membabitkan 8,258 kes atau 94.6 peratus warganegara manakala 471 atau 5.4 peratus bukan warganegara.

Beliau berkata sebanyak 770 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 419 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 10 kluster baharu dilaporkan dengan empat kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Pahang menjadi negeri dengan kluster baharu tertinggi iaitu sebanyak tiga kluster terdiri daripada tempat kerja, komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, nilai kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah pada 0.86 dengan negeri kadar Rt tertinggi adalah Putrajaya iaitu 1.11.

Menurut beliau, maklumat terperinci situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman web COVIDNOW yang mana data dikemaskini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA


Pengarang :