Petugas memberi suntikan kepada warga emas yang menyertai program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Tanjung Sepat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Banting Baru, Kuala Langat pada 6 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

88 peratus penduduk dewasa lengkap terima vaksin

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Sebanyak 20,603,249 individu atau 88 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing setakat semalam.

Perkembangan terbaru itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa kini tinggal kira-kira 2.2 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal Covidnow, 94.4 peratus atau 22,098,764 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam juga, sebanyak 114,124 atau 3.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 221,812 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 126,433 dos pertama dan 95,379 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,573,891 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, dua kes kematian harian akibat Covid-19 dilaporkan semalam dengan kedua-duanya membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,759.

– BERNAMA


Pengarang :