Pelajar Tingkatan Lima Tahun 2020 Athirah Akmal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengimbas suhu badan sebelum masuk ke kelas ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa pada 24 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

94,000 pelajar dari 10 negeri mula sesi persekolahan bersemuka hari ini

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sesi persekolahan secara bersemuka di 10 negeri melibatkan kira-kira 94,000 pelajar bermula hari ini, mengikut ketetapan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri masing-masing.

Ia melibatkan pelajar di Pulau Pinang, Perak dan Sabah yang berada dalam Fasa Dua; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang dan Sarawak (Fasa Tiga); Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan (Fasa Empat).

Pembukaan sekolah hari ini membabitkan pelajar Tingkatan Enam Semester Dua, kelas peperiksaan antarabangsa, murid berkeperluan khas (MBK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang hadir tanpa penggiliran mengikut ketetapan Fasa Dua.

Bagi Negeri Sembilan dan Labuan, ia melibatkan murid prasekolah, MBK dan PPKI, pelajar kelas peperiksaan awam di sekolah asrama, sekolah harian dan swasta serta kelas peperiksaan antarabangsa, mengikut ketetapan fasa tiga.

Semalam, sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan Covid-19.

Johor dan Kedah hanya akan memulakan sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 10 Okt.

-BERNAMA


Pengarang :