Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 7 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

98 projek tangani banjir Selangor di bawah RMK12 diluluskan

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 98 projek tebatan banjir Selangor membabitkan peruntukan RM533 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah diluluskan, maklum Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’Seri Amirudin Shari satu daripada 98 projek berkenaan iaitu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 1 sudah dilaksanakan.

“Sebanyak 78 buah projek dengan peruntukan RM425.33 juta di bawah RMK11 telah disiapkan, manakala terdapat 98 projek diluluskan melalui RMK12 dengan peruntukan RM533 juta.

“Bagi projek di bawah RMK12, sejumlah RM440 juta disalurkan dan satu daripada 98 projek sudah dilaksanakan iaitu projek RTB Sungai Buloh Fasa 1,” katanya menerusi Twitter.

Selain itu, Amirudin berkata sebanyak RM1.3 bilion peruntukan tambahan dipohon bagi melaksanakan lima projek menangani isu perubahan iklim dan kejadian banjir berulang.

“Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah membuat permohonan tambahan sejumlah RM1.3 bilion untuk membina lima projek RTB,” katanya.

Berikut cadangan projek RTB:
– RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar (Meru dan Klang)
– RTB Sungai Langat Fasa 2 (Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat)
– RTB Sungai Buloh Fasa 2 (Petaling dan Kuala Selangor)
– RTB Anak Sungai Udang Fasa 2 (Selayang dan Gombak)
– RTB Sungai Kundang (Bandar Baru Kundang dan Rawang)

 

 

 


Pengarang :