Ng Suee Lim (dua, kiri) menyampaikan kit saringan kendiri kepada pengetua SMJK Yoke Kuan pada 29 September 2021. Foto Facebook Ng Suee Lim
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Sekinchan belanja RM20,000 agih kit kendiri percuma

SHAH ALAM, 4 OKT: Lebih RM20,000 dibelanjakan wakil rakyat Sekinchan untuk edaran kit ujian air liur secara percuma kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Inisiatif sendiri itu diagihkan berperingkat kepada guru, ketua kampung, majlis pengurusan komuniti kampung dan penjaja bagi mengesan jangkitan wabak dengan cepat, kata Ng Suee Lim.

“Jika ada simptom, mereka boleh kuarantin di rumah. Saya yakin dengan kaedah sedemikian dapat mengurangkan penularan wabak dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 100 kit disumbangkan kepada guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan pada 29 September.

“Agihan kepada guru terbabit dibuat semasa meninjau program jangkauan vaksinasi Covid-19 untuk golongan remaja yang giat dijalankan ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 60,0000 kit saringan kendiri diagih kepada keluarga dijangkiti Covid-19 di negeri ini bermula September melalui pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.


Pengarang :