Petugas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjalankan pemantauan di kawasan pantai berikutan fenomena air pasang besar dan dan peralihan monsun timur laut yang dijangka bermula awal November 2021. Foto MPKL
AGENDANASIONAL

Air pasang besar: Skuad Pantas MPKL pantau kawasan pantai

SHAH ALAM, 31 OKT: Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) akan digerakkan bagi mengawal dan memantau kawasan pesisir pantai sepanjang fenomena air pasang besar bermula 3 November ini.

Ketuanya Mazlan Abdul Manap berkata pengawasan akan dijalankan 14 anggota skuad bersama dengan penguat kuasa MPKL bermula seawal jam 4 pagi.

“Pemantauan sama seperti awal bulan ini di mana kita akan memastikan kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam ditutup bagi memastikan tidak dikunjungi orang ramai.

“Pemasangan kain rentang penutupan kawasan berkenaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, MPKL menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Bin Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

“Antara kawasan dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Justeru, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan.

 


Pengarang :