Liputan pengebumian jenazah Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang meninggal dunia selepas rebah ketika operasi menyelamat di Sungai Putat pada 20 Okt 2021. Foto Facebook Bomba Channel
AGENDANASIONAL

Anggota bomba maut semasa operasi selamat mangsa banjir dikebumi

MELAKA, 21 OKT: Jenazah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong di sini, kira-kira pukul 11.38 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia pada 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka di sini, selepas rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika operasi menyelamat di Sungai Putat, kira-kira 5.30 petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.

Allahyarham sebelum itu dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain yang turut bersama pegawai dan anggota bomba serta penduduk kampung untuk solat jenazah di Masjid An-Nur.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa menziarahi ahli keluarga Allahyarham di Taman Krubong Jaya.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 9.15 pagi, sempat meluangkan masa selama 15 minit untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

-BERNAMA


Pengarang :