Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengemukakan soalan ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 6 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar dakwa kerajaan tiada komitmen, sengaja lengah persefahaman enam perkara

SHAH ALAM, 6 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak berpuas hati dengan perkembangan Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai bersama kerajaan persekutuan pada bulan lalu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun perjanjian menampakkan sedikit kemajuan namun masih dianggap lemah kerana tiada satu komitmen pun dilaksanakan.

“Hanya uar-uarkan kestabilan politik hasil MoU tetapi beberapa langkah bertentangan dengan semangat demokrasi, ketelusan dan semangat bekerjasama seperti disebut oleh perdana menteri.

“Saya nak jelaskan di sini kepada menteri untuk membetulkan kenyataannya MoU ada kemajuan, meredakan suhu politik tetapi saya nak nyatakan kami tidak berpuas hati (perkembangan MoU) kerana ia lembab dan sengaja dilengah-lengahkan,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah bagi memperbetulkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung kestabilan politik dapat memulihkan ekonomi serta menarik pelabur.

Pada 13 September, kerajaan persekutuan dan PAKATAN melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

 


Pengarang :