Aksi Awwal Haiqal Mohd Safuan menunggang motosikal miniGP yang boleh mencapai kelajuan hingga 60 kilometer sejam. Foto Facebook SIC Ohvale Junior Championship
PERSONALITIRENCANA

Apabila si cilik gegarkan litar lumba

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Jika kanak-kanak lain seusianya lebih banyak menghabiskan masa dalam dunia siber bermain permainan dalam talian dan melayari aplikasi seperti TikTok dan YouTube, Awwal Haiqal Mohd Safuan, 11, memilih aksi dunia nyata dengan berlumba motosikal mini untuk mengisi masa lapangnya.

Mungkin ada yang berpandangan hobi itu tidak begitu sesuai untuk seorang kanak-kanak kerana berisiko tinggi, namun bagi Awwal Haiqal, menunggang motosikal mini atau moto mini yang boleh mencapai kelajuan hingga 60 kilometer sejam tersebut, memberikannya satu kepuasan dan keseronokan yang tiada galang ganti.

“Rasa memang seronok sangat. Walaupun dah banyak kali jatuh, kemalangan serta mengalami kecederaan seperti terseliuh dan retak di bahagian bahu, saya tidak berputus asa dan mahu melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menjadikan pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah sebagai idolanya, murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Sepang, Selangor itu memasang cita-cita untuk menjadi penunggang profesional dan berlumba di persada antarabangsa.

“Saya mahu jadi pelumba berjaya seperti Hafizh Syahrin dan pelumba antarabangsa pula saya amat meminati (juara MotoGP sembilan kali) Valentino Rossi,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Menurutnya, dia mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran selepas neneknya menghadiahkan sebuah pocket bike pada hari jadi keenamnya.

Anak kelahiran Muar, Johor tersebut berkata sejak itu, dia mula menyertai komuniti moto mini dan aktif mengikuti sesi latihan serta perlumbaan anjuran komuniti berkenaan.

Dia yang kini menunggang moto mini grand prix juga bertuah kerana mendapat sokongan keluarga termasuk bapanya, seorang anggota polis trafik di KLIA Sepang.

Berdebar saksi penunggang cilik ambil selekoh

Melihat sendiri ketangkasan anak kecil itu mengendalikan jentera mini berkenaan di litar lumba cukup mendebarkan, terutama ketika dia mengambil selekoh yang diketahui boleh menyebabkan kemalangan sekiranya tersilap langkah walaupun dalam kalangan pelumba profesional.

Siti Azielah Wahi, 36, mengakui jantungnya berdegup kencang setiap kali melihat anaknya itu beraksi. Katanya dia hanya mampu memanjatkan doa agar anaknya serta penunggang cilik lain yang bersaing dalam perlumbaan dilindungi daripada kecelakaan.

Aksi Awwal Haiqal Mohd Safuan menunggang motosikal miniGP yang boleh mencapai kelajuan hingga 60 kilometer sejam. Foto Facebook SIC Ohvale Junior Championship

“Setiap kali anak saya beraksi di litar lumba, hati sentiasa berdebar. Bimbang, risau, tetapi pada masa sama rasa bangga berbaur terharu bila dia menunjukkan aksi menarik di selekoh. Semasa kejar-mengejar, debaran hanya Allah yang tahu, sepanjang dia berlumba saya sentiasa berzikir dan berdoa semoga Allah lindungi, pelihara, kuatkan semangat dia dan selamatkan perlumbaan dia dan kawan-kawannya tanpa sebarang kemalangan,” katanya.

Hingga kini Awwal Haiqal telah menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara dan pernah menaiki podium bagi kategori junior.

Selain itu, dia turut menyertai dua kejuaraan Mini Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan yang membabitkan 10 pusingan, masing-masing pada 2018 dan 2019.

“Pada 2020, Awwal Haiqal menyertai Kejohanan SIC MiniGP 2020 bagi kategori 110 cc dan mendapat tempat keempat keseluruhan dan ketiga semasa perlumbaan kedua,” katanya.

Menurut Siti Azielah, anaknya turut terpilih berlumba di SIC Ohvale Junior Championship yang akan memulakan perlumbaan pada bulan ini di Litar Antarabangsa Sepang dan Langkawi, namun mereka terpaksa menarik diri atas faktor kewangan dan juga masa.

Didik kefahaman mental dan fizikal

Bercerita lanjut, Siti Azielah berkata penglibatan dalam sukan permotoran membuatkan anaknya itu lebih berdisiplin, kuat semangat, tidak mudah mengalah selain mempunyai daya tumpuan yang tinggi.

“Karakter di atas litar itu terbawa-bawa dalam kehidupan seharian dia sebagai anak sulung dan pelajar yang menggalas tugas sebagai ketua kelas dan pengawas. Dia mampu melakukan sesi latihan kecergasan sendiri yang merangsang fizikal dan mentalnya,” katanya.

Menurutnya lagi, Awwal Haiqal amat menyukai cabaran dan sentiasa mahu melakukan sesuatu yang baharu serta tidak jemu mencuba walaupun banyak halangan.

Mengenai cabaran dalam melebarkan sayap dan bakat anaknya, Siti Azielah yang bekerja di sektor swasta, berkata kekangan kewangan antara cabaran utama memandangkan sukan tersebut memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Jika ada yang kata sukan ini sukan ‘orang kayangan’ saya bersetuju. Sukan melibatkan enjin sangat kasar perbelanjaan, kerana motosikal perlu sentiasa diselenggara. Kena selalu tukar minyak hitam, tukar macam-macam alat ganti. Tayar juga perlu kerap ditukar. Begitu juga dengan kelengkapan keselamatan seperti sut lumba, helmet, sarung tangan dan kasut lumba,” jelasnya.

Aksi Awwal Haiqal Mohd Safuan. Foto Facebook SIC Ohvale Junior Championship

Wanita itu berkata mereka memperuntukkan kira-kira RM2,000 sebulan untuk latihan dan lain-lain.

Masakan tidak, untuk satu sesi latihan mereka perlu menyewa trek pada kadar RM150 sehari, manakala yuran penyertaan perlumbaan pula boleh mencecah ribuan ringgit, tambahnya.

Dedah dan asah bakat sedari kecil

Sementara itu, bekas pelumba Moto2 negara Zulfahmi Khairuddin, 29, berkata pendedahan awal terhadap sukan permotoran bagi kanak-kanak yang meminati bidang tersebut adalah satu langkah yang baik kerana bakat si cilik dapat digilap sedari awal, khususnya jika dia berhasrat menjadi pelumba profesional.

“Amat penting untuk melatih pelumba-pelumba ini dari kecil kerana mereka lebih mudah menyerap perkara-perkara positif selain dapat mempelajari sesuatu dengan lebih cepat berbanding pelumba yang sudah berumur.

“Menerusi pelbagai latihan dan program yang diajar kepada pelumba cilik kita seperti MiniGP, saya dapat lihat perkembangan positif yang ditonjolkan oleh golongan si kecil ini dalam sukan permotoran dua roda, yang mana mereka mempunyai sifat profesional di dalam dan juga di luar litar,” katanya.

Beliau berkata sambutan ibu bapa yang mahu menggilap bakat anak mereka dalam sukan berkenaan juga amat menggalakkan.

Sementara itu, bekas pelumba MotoGP kebangsaan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, 45, berkata penglibatan kanak-kanak dalam sukan permotoran mampu menjadikan mereka individu yang kental dalam mendepani cabaran.

“Sudah pasti sukan ini memberikan si cilik kekuatan selain dapat mendisiplinkan mereka. Menjadi seorang pelumba motosikal akan melatih mereka lebih berdisiplin selain dapat membuatkan seseorang itu bagus dalam akademik,” katanya yang juga Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL).

Tambahnya, cabang sukan itu kini mendapat tempat di hati ibu bapa dan kanak-kanak yang boleh dilihat melalui peningkatan jumlah penyertaan pelumba cilik dalam kejohanan, antaranya Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, saban tahun.

Menyentuh soal kekangan kewangan yang sering dihadapi ibu bapa apabila mahu mengembangkan bakat anak mereka, Shahrol Yuzy berkata sememangnya bidang sukan itu memerlukan perbelanjaan yang besar, namun perkara tersebut bergantung pada kesediaan ibu bapa untuk berbelanja demi masa depan anak mereka.

“Ya, benar. Sukan permotoran ini memerlukan perbelanjaan besar. Tapi bagi saya terpulang, sebenarnya perbelanjaan untuk anak di bawah 18 tahun memang memerlukan kos yang banyak. Jika kita dapat tahu, peka dengan kehendak anak, kita boleh tumpukan kepada perkara tersebut dan dedahkan dia kepada perkara yang diminati,” katanya yang berpendapat semua bidang memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Jadi bagi saya, kenal pasti minat sebenar anak dan fokus terhadap apa yang kita mahu berikan kepada si kecil tersebut,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :